SKUAD hoki kebangsaan kecundang kepada Sepanyol.
SKUAD hoki kebangsaan kecundang kepada Sepanyol.
Saiful Affendy Sapran


PENAMPILAN sulung penjaga gol muda, Adrian Andy Albert membawa khabar gembira buat skuad hoki negara meskipun gagal melakukan kejutan kali kedua berturut-turut apabila tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol pada perlawanan kedua siri jelajah Eropah di Terressa semalam.

Gol tunggal Pau Quemada minit ke-30 menjadi pemisah, sekali gus cukup untuk meletakkan Sepanyol meraih kemenangan.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans melakukan keputusan berani dengan memberi peluang kepada Adrian beraksi pada perlawanan itu dan dia muncul penyelamat ketika ujian penalti shoot out selepas perlawanan.

Manakala pemain tengah, Muhammad Marhan Mohd Jalil meraih penampilan ke-250 bersama skuad negara.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk menjaringkan gol tetapi S Kumar (penjaga gol) bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan.

“Syafiq (Sumantri), Akhimullah (Anuar Esook) dan Joel (Van Huizen) berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal menyempurnakannya dengan baik,” kata ketika dihubungi.

Oltmans berkata, kedua-dua pasukan kemudian melakukan ujian penalti shoot out selepas tamat perlawanan yang menyaksikan skuad negara menang dengan keputusan 3-2.

“Adrian diberi tanggungjawab selaku penjaga gol ketika itu dengan tiga gol kami dijaringkan Faizal dan Fitri Saari serta Akhimullah,” katanya.

Minggu lalu skuad bimbingan Roelant Oltmans mengejutkan Jerman 4-2 pada perlawanan pertama siri jelajah Eropah.

Selepas ini skuad negara akan beraksi pada saingan empat penjuru membabitkan Sepanyol, Ireland dan England di Terressa bermula, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:30 AM