MANE (kanan) meraikan gol jaringannya bersama Trent Alexander-Arnold. FOTO AFP
MANE (kanan) meraikan gol jaringannya bersama Trent Alexander-Arnold. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL menyamai rekod 18 kemenangan berturut-turut di Liga Perdana Inggeris selepas pendahulu liga itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Ham 3-2 hasil jaringan lewat Sadio Mane.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp bersiko untuk mencicirkan mata buat kali pertama di saingan liga sejak seri di Manchester United, 20 Oktober tahun lalu apabila ketinggalan di separuh masa kedua pada perlawanan yang berlangsung di Anfield itu.

Georginio Wijnaldum meletakkan Liverpool di depan minit ke-9 tetapi Issa Diop menyamakan kedududukan tiga minit kemudian.

Pablo Fornals meletakkan West Ham di depan buat kali pertama minit ke-54 tetapi Mohamed Salah menyamakan kedudukan minit ke-68 yang juga gol peribadi ke-19 diraihnya musim ini.

Mane muncul penyelamat apabila meledak gol sembilan minit sebelum tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Liverpool kini selesa dengan kelebihan 22 mata berbanding Manchester City di tangga kedua.

Kemenangan terbaru itu menyamai rekod 18 kemenangan berturut-turut diraih Manchester City pada saingan liga antara Ogos sehingga Disember 2017.

“Saya tidak pernah menjangkakan rekod itu mampu dipecahkan atau disamai. Kami berjaya melakukannya dan secara jujur saya tidak percaya ia dapat dilakukan.

“Apa yang berlaku sepanjang musim ini adalah hasil usaha kami semua. Setakat ini segala-galanya berjalan dengan baik,” kata Klopp.

Kemenangan ke-21 berturut-turut di Anfield itu juga menyamai rekod milik kelab itu sendiri ketika di bawah bimbingan Bill Shankly antara Januari sehingga Disember 1972.

Liverpool memerlukan empat kemenangan lagi daripada 11 perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1990.

Mereka tidak tewas sepanjang 44 perlawanan terakhir liga dan hanya kurang lima berbanding rekod sepanjang zaman milik Arsenal yang tidak pernah tewas sepanjang 49 perlawanan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:11 AM