Irfan peroleh ilmu berharga daripada Shukor Adan. FOTO Ihsan KDA FC
Irfan peroleh ilmu berharga daripada Shukor Adan. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Irfan Zakaria menjadikan bekas pemain pertahanan negara Skukor Adan sebagai idolanya sejak beliau mula mengembangkan bakatnya dalam arena bola sepak hingga ke peringkat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pertahanan kental yang kembali buat kali kedua bersama Sang Kenari pada musim ini selepas bersama KL City pada musim 2021 lalu menganggap legenda pertahanan skuad negara itu sebagai gurunya yang memberi tunjuk ajar serta tips penting di bahagian benteng pasukan dan hingga kini terus menjadi inspirasi penting setiap kali turun beraksi.

"Saya menganggap bekas bintang pertahanan negara iaitu Shukor Adan sebagai idola dan juga guru yang mencetus semangat untuk saya beraksi kerana ketangkasan ditunjukkan di ruang pertahanan pada zaman kegemilangannya.

"Saya juga bersyukur kerana dapat belajar dengan Shukor Adan selama tiga tahun semasa saya beraksi bersama KL City sebelum ini. Hasil tunjuk ajar bersama KL City, saya dapat mengecapi juara Piala Malaysia dan juga melangkah ke peringkat akhir Piala AFC.

"Dia ajar cara bertahan dan banyak lagi aspek pengalaman yang telah dicurahkan kepada saya dan bukan mudah untuk mendapat ilmu itu kerana hingga kini saya masih berusaha mempertingkatkan lagi kemampuan diri saya," katanya.

Irfan juga mendedahkan beliau tidak mensia-siakan peluang mendapatkan sebanyak mungkin ilmu berkaitan ruang pertahanan dari pemain senior berkenaan kerana sedar masih banyak kekurangan dalam aksinya yang perlu dipertingkatkan.

"Cara saya mendapatkan ilmu itu ada kalanya saya bertanya, dan ada masa dia menegur saya dengan apa yang penting dan patut dilakukan dalam situasi bertahan itu. Shukor merupakan jurulatih dan juga guru buat saya," katanya.

Dalam perkembangan terkini pasukan, Irfan yang melengkapi benteng Kedah bersama Akmal Zahir, Jose Cleylton, Rizal Ghazali, Ariff Farhan, Wan Amirul Afiq dan Zambri Pin turut mengakui persaingan untuk berada pada kesebelasan utama pilihan jurulatih begitu sengit pada musim ini.

"Saya rasa persaingan antara pemain ini merupakan satu persaingan yang sihat di mana Ketua Jurulatih Nafuzi Zain memiliki banyak pilihan untuk memastikan benteng Kedah kekal teguh dalam setiap perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:10 PM