NIDZAM bakal dibantu penolong jurulatih dari luar negara.
NIDZAM bakal dibantu penolong jurulatih dari luar negara.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC masih lagi belum puas untuk 'membeli belah' sebagai persiapan mengharungi saingan Liga Super musim ini apabila berkira-kira mahu membawa masuk sekurang-kurangnya tiga pembantu jurulatih bagi memperkuatkan pasukan.

Jelas sekali, Selangor FC mempunyai impian besar pada musim ini dalam usaha memastikan pasukan cukup mantap sekali gus mampu mencabar mahkota kejuaraan Liga Super musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dr Johan Kamal Hamidon pembantu jurulatih baharu akan dilantik bagi membantu pengendali pasukan Nidzam Jamil membentuk pasukan lebih mantap kelak.

The Red Giants sebelum ini melantik ketua jurulatih baharu iaitu Nidzam bagi menggantikan posisi Tan Cheng Hoe yang meninggalkan pasukan untuk ke Thailand.

"Alhamdulillah, Nidzam Jamil dan barisan kejurulatihan sedang giat mencari pembantu jurulatih pasukan. InsyaAllah kita akan membawa masuk dua atau tiga pegawai baru.

"Jurulatih (Nidzam Jamil) sedang meneliti resume. Kita memberi tanggungjawab sepenuhnya untuk beliau memilih sendiri barisan kejurulatihan. Tahun ini merupakan tahun yang besar buat Selangor, beliau pastinya mahu mendapatkan sokongan terbaik," katanya.

Antara calon sedang dikenal pasti oleh naib juara Liga Super 2023 itu termasuklah pengendali kelahiran Australia yang pernah beraksi di Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

"Ada beberapa calon sedang dikenal pasti. Besar kemungkinan Selangor akan membawa masuk pembantu jurulatih daripada luar negara. Jurulatih ini juga pernah menjadi pemain sewaktu Nidzam Jamil bermain. Beliau warganegara Australia," katanya.

Antara calon yang disebut-sebut berada dalam radar Selangor FC ialah dua bekas pemain Australia iaitu Ross Aloisi dan juga Adam Griffiths.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:55 PM