MOURICIO Pochettino. FOTO AFP
MOURICIO Pochettino. FOTO AFP
AFP

London: Bos Chelsea, Mauricio Pochettino berkata adalah tidak adil untuk menilai musim sulungnya yang mengecewakan bersama kelab itu kerana masalah kecederaan membelenggu The Blues.

Pochettino mungkin tanpa kesebelasan utama apabila berkunjung ke Everton, Selasa ini, ketika kelab London barat itu menyasarkan untuk cuba layak ke saingan Eropah musim depan.

Chelsea berada di tangga kesembilan Liga Perdana tetapi hanya ketinggalan lima mata berbanding Manchester United yang berada di tangga keenam.

Pochettino mengkritik skuad mudanya kerana tidak 'cukup matang' selepas mereka mencicirkan dua mata ketika bertemu pasukan tercorot, Sheffield United hujung minggu lalu.

Tetapi pengendali dari Argentina itu mengakui beliau perlu menggunakan nada yang lebih positif dan menerima 'realiti' situasi yang dihadapinya.

"Sejujurnya, memang benar bahawa ia adalah musim istimewa untuk kami kerana kami berdepan banyak kecederaan pada masa ini," kata Pochettino pada sidang media.

"Pada masa ini adalah tidak adil untuk menilai pemain. Ia sangat sukar apabila anda tidak mempunyai skuad yang kuat.

"Kami mahu meningkatkan persaingan antara mereka, tetapi itu bukan alasan.

"Kami perlu lebih positif dan perlu terima itulah realitinya. Saya fikir kadangkala saya perlu lebih positif kerana kami mempunyai skuad yang sangat bagus dan kami perlu bekerja untuk menyokong mereka," katanya lagi.

Axel Disasi dan Enzo Fernandez adalah pemain terbaharu yang menyertai senarai kecederaan manakala Raheem Sterling dan Robert Sanchez juga mungkin terlepas beraksi apabila bertemu Everton kerana belum cergas sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:16 AM