MAURICIO Pochettino. FOTO REUTERS
MAURICIO Pochettino. FOTO REUTERS
Agensi

London: Mauricio Pochettino mendedahkan beliau hanya mempunyai antara 14 atau 15 pemain untuk dipilih apabila Chelsea bertandang ke Bournemouth, esok.

Walaupun membelanjakan £400 juta (RM2.32 bilion) lagi pada musim panas lalu, skuad mahal Todd Boehly berdepan masalah kecederaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pochettino mempunyai beberapa pemain bintang dalam pasukan utama yang tidak dapat beraksi untuk kunjungan ke Bournemouth dan mempunyai pilihan terhad ketika ini.

The Blues tewas kepada Nottingham Forest di Stamford Bridge pada aksi terakhir dan cukup terdesak untuk kembali meraih kemenangan ketika mereka mengintai peluang kembali beraksi di pentas Eropah.

Tetapi Pochettino mengakui dia mempunyai pilihan terhad apabila bertemu skuad bimbingan Andoni Iraola dengan begitu ramai pemain berstatus bintang tidak dapat diturunkan.

"Saya rasa kami hanya mempunyai 14 atau 15 pemain. Adalah amat penting untuk memastikan barisan pemain lain dapat pulih sepenuhnya dan kembali cergas.

"Sudah tentu dengan sejarah yang ada pada Chelsea, kami perlu beraksi di pentas Eropah tetapi saya tak mampu mengubahnya sekarang, itulah realitinya.

"Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah untuk terus bekerja keras dan cuba berada di pentas Eropah pada musim depan. Yang pasti kami akan berada dalam saingan Eropah musim depan," kata Pochettino.

Christopher Nkunku, Wesley Fofana, Armando Broja, Reece James, Romeo Lavia dan Benoit Badiashile adalah antara pemain berprofil tinggi yang tidak dapat beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 8:43 AM