BARNES (dua dari kanan) menjaringkan gol ketiga Newcastle sebelum menang 4-3 ke atas West Ham. FOTO REUTERS
BARNES (dua dari kanan) menjaringkan gol ketiga Newcastle sebelum menang 4-3 ke atas West Ham. FOTO REUTERS
AFP

London: Newcastle menampilkan semangat juang dan kebangkitan sensasi apabila dua gol lewat Harvey Barnes memastikan kemenangan dramatik 4-3 ke atas West Ham di St James' Park, sebentar tadi.

Anak buah Eddie Howe ketinggalan 1-3 apabila gol menerusi sepakan penalti Alexander Isak dinafikan dengan jaringan Michail Antonio dan Mohammed Kudus sebelum rehat.

Selepas Jarrod Bowen menjaringkan gol ketiga West Ham sebaik babak kedua bersambung, Newcastle dilihat akan mengalami satu lagi kekalahan pada musim yang bermasalah.

Tetapi, Isak menyempurnakan sepakan penalti kedua yang memberi harapan kepada Magpies sebelum Barnes yang masuk dari bangku simpanan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 dan gol kemenangan pada minit ke-90.

Pemain sayap Newcastle, Anthony Gordon dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada masa tambahan, tetapi mereka terus bertahan untuk meraih tiga mata penting.

Selepas tertekan berikutan reaksi penyokong yang kecewa susulan prestasi hambar mereka, kelegaan Howe jelas terpancar apabila dia meluru ke tepi padang untuk meraikan gol kedua Barnes.

Pemilik Newcastle dari Arab Saudi sudah pasti menjangkakan pasukan itu menamatkan kempen lebih baik berbanding kedudukan di pertengahan liga ketika ini, selepas menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim lalu.

Kemenangan kedua Newcastle dalam tujuh perlawanan di semua kejohanan serta semangat melawan tinggi dipamerkan mereka, memberikan harapan baharu kepada Howe dan anak buahnya yang kini menduduki tangga kelapan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 11:05 PM