ANTONIO (kiri) berjaya meledak gol keempat West Ham. FOTO AFP
ANTONIO (kiri) berjaya meledak gol keempat West Ham. FOTO AFP
AFP

Newcastle: West Ham dua kali bangkit dari ketinggalan untuk memulakan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cemerlang selepas menumpaskan Newcastle 4-2 di St James Park.

Bagaimanapun, Newcastle bermula dengan cemerlang selepas Callum Wilson menanduk masuk hantaran Allan Saint-Maximin pada minit kelima.

West Ham berjaya menyamakan kedudukan melalui Aaron Cresswell sebelum tandukan Jacob Murphy kembali meletakkan Newcastle di depan sebelum rehat.

Anak buah David Moyes membuktikan mengapa mereka berjaya menduduki tangga keenam musim lalu mengatasi Tottenham dan Arsenal selepas mempamerkan permainan cemerlang di separuh masa kedua.

Newcastle jelas tidak dapat menghalang gandingan mantap Said Benrahma dan Michail Antonio.

Gandingan berkenaan berjaya menghadirkan gol penyamaan buat pelawat apabila Benrahma menanduk masuk hantaran lintang Antonio pada minit ke-53.

Selang 10 minit kemudian West Ham dihadiahkan penalti apabila Pablo Fornals dijatuhkan Murphy.

Freddie Woodman yang tampil buat kali pertama di EPL berjaya menyelamatkan sepakan penalti Antonio namun Tomas Soucek berjaya melakukan tindakan susulan untuk meletakkan West Ham di depan.

Tiga minit kemudian Benrahma melakukan hantaran kepada Antonio melalui serangan balas pantas dan kali ini dia tidak lagi melakukan kesilapan bagi menyamai rekod jaringan terbanyak kelab berkongsi kedudukan dengan Paolo Di Canio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 11:38 PM