PENGALAMAN luas Baddrol ditagih pasukan Kedah.
PENGALAMAN luas Baddrol ditagih pasukan Kedah.
Izzali Ismail


Alor Setar: Skuad Kedah Darul Aman B (KDA FC B) mendapat tonik cukup berharga apabila legenda Sang Kenari, Baddrol Bakhtiar bakal memainkan peranannya sebagai pengurus pasukan bagi menghadapi saingan Piala MFL musim 2024/ 2025.

Berita pelantikan Baddrol yang juga sebelum ini diumum sebagai pengurus skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Kedah diumumkan pemilik pasukan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar hari ini sekali gus menyerlahkan kewibawaan Baddrol yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Exco) kawasan Gurun.

Walaupun keutamaan sebagai seorang wakil rakyat menjadi tugasan baharu buat Baddrol, namun rasa cintanya kepada bola sepak tidak pernah pudar demi memajukan bola sepak negeri Kedah.

"Sukacita diumumkan Yang Berhormat Baddrol Bakhtiar kini dilantik pengurus pasukan KDA FC B dan beliau akan bergandingan dengan bekas pemain Kedah iaitu Shafizan Hashim sebagai koordinator pasukan yang sama," katanya.

Mohd Daud juga berkata, kemasukan legenda Kedah akan menyuntik motivasi dan kekuatan tambahan buat pasukan dalam memberi saingan pada tahap terbaik memasuki musim baharu nanti.

Selain Baddrol dan Syafizan, skuad KDA FC B juga akan diperkuatkan sentuhan Mohamad Khairul Ismail sebagai Ketua Jurulatih Sang Kenari B.

Turut diumumkan dalam sidang media ialah Nelson San Martin sebagai Pengarah Teknikal KDA FC dan bekas penjaga gol Kedah Helmi Eliza Elias sebagai Penolong Jurulatih Penjaga Gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:59 PM