BARISAN skuad B-23 ketika Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok. FOTO FB FAM
BARISAN skuad B-23 ketika Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tiada istilah pilih kasih atau 'favouritism' dalam pemilihan pemain untuk membarisi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bagi mengharungi aksi Piala Asia B-23 pada April tahun depan.

Hal ini kerana, menurut pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar, barisan pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan muda perlu melalui saringan ketat terdiri daripada lima panel yang dilantik.

Beliau berkata, setiap pemain yang dipilih perlu dipantau dan mempunyai alasan atau sebab dipilih bagi memastikan skuad B-23 dibarisi individu terbaik dalam usaha meraih keputusan positif pada perlawanan akan datang.

"Pemilihan pemain adalah berdasarkan teknikal kerana kita mempunyai pegawai teknikal terdiri daripada lima individu untuk memilih pemain.

"Setiap pemain yang dipilih ada sebabnya dan senarai nama yang dikeluarkan bukanlah atas dasar dipengaruhi atau pemilihan daripada individu tertentu.

"Kita melihat segala aspek termasuklah jika mereka beraksi bersama skuad Liga Super. Pegawai teknikal ada sebab kenapa memilih pemain berkenaan," katanya.

Sebelum ini, terdapat pertikaian di kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila senarai nama skuad B-23 yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan hanya dua pemain daripada Terengganu FC II (TFC II) dipanggil menyertai pasukan muda negara itu.

Walaupun TFC II berjaya muncul juara Piala MFL musim pertama pada November lalu selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0, namun barisan pemain pasukan terbabit dikatakan seolah-olah dianak tiri oleh pihak tertentu.

Jika dilihat dalam senarai, hanya dua pemain muda dari TFC II dipanggil iaitu penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim dan pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan.

Sebaliknya pemain Selangor II mendominasi dengan lapan pemain biarpun pasukan itu tidak berjaya melangkah ke final Piala MFL diikuti naib juara Piala MFL, JDT II dengan lima pemain.

Malah, bekas pemain tengah Terengganu dan kebangsaan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, berkongsi pandangan dengan menegaskan sepatutnya lebih ramai lagi pemain skuad TFC II itu boleh dipanggil menjalani latihan dalam kem skuad kebangsaan selepas muncul juara Piala MFL bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 1:00 PM