THOMAS Tuchel. FOTO AFP
THOMAS Tuchel. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pertembungan Bayern Munich di tempat sendiri dengan Lazio di pentas Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini memberikan jurulatih, Thomas Tuchel peluang untuk menyelamatkan reputasinya ketika beliau bakal meninggalkan kelab itu.

Menduduki kelompok pertengahan Serie A, Lazio yang menyaksikan tiga pemainnya dibuang padang ketika tewas kepada Milan, mendahului 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir.

Tuchel sudah pun menyatakan akan meninggalkan Bayern hujung musim ini selepas bergelut untuk meletakkan kelab itu di landasan yang betul bagi kejuaraan Bundesliga dengan Leverkusen kini selesa berada di puncak.

Tersingkir awal di saingan Piala Jerman serta ditunjuk jalan keluar awal oleh Manchester City pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu, satu-satunya trofi yang dimenangi Tuchel adalah kejuaraan Bundesliga.

Pengendali terdahulu, Julian Nagelsmann hanya tewas 10 daripada 84 perlawanan sepanjang membimbing Bayern.

Dengan sebahagian besar skuad yang sama, ditambah dengan kehadiran kapten England, Harry Kane dan pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae, Tuchel sudah tewas 11 daripada 45 perlawanan di bawah bimbingannya.

Keputusan seri 2-2 dengan Freiburg dan tewas 0-2 kepaada Leverkusen di Cologne bermakna Bayern ketinggalan 10 mata dengan berbaki 10 perlawanan liga dalam pemburuan kejuaraan Bundesliga.

Walaupun skuad kendalian Tuchel hanya menang satu daripada lima perlawanan terakhir mereka, pengurusan Bayern berjanji jurulatih itu akan kekal sehingga berakhir musim ini.

Media Jerman bagaimanapun mendakwa satu-satunya faktor yang menyebabkan Tuchel kekal menggalas jawatannya itu kerana kelab kekurangan pilihan untuk pengendali sementara.

Semua penolong jurulatih Bayern datang ke kelab itu bersama Tuchel.

Bayern keberatan untuk melantik jurulatih tetap, sebaliknya mereka mensasarkan mendapatkan khidmat Xabi Alonso dari Leverkusen pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 10:46 AM