DE Bruyne menjaringkan gol pertama Man City. FOTO REUTERS
DE Bruyne menjaringkan gol pertama Man City. FOTO REUTERS
AFP

Copenhagen: Pep Guardiola memuji prestasi Kevin De Bruyne sebagai luar biasa selepas pemain Belgium itu terbabit dalam ketiga-tiga gol ketika Manchester City menewaskan FC Copenhagen 3-1 awal pagi tadi untuk menghampiri tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Jaringan pertama De Bruyne pada minit ke-10 dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir itu berjaya disamakan oleh Magnus Mattsson minit ke-34.

Bernardo Silva kembali meletakkan City di depan sebelum berakhir separuh masa pertama dan mereka terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk menambah derita tuan rumah apabila Phil Foden menyempurnakan hantaran De Bruyne.

De Bruyne diketepikan selama lima bulan akibat kecederaan hamstring yang dialami pada aksi pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL), Ogos lalu.

Tetapi sejak kepulangannya bulan lalu, pemain berusia 32 tahun itu sudah menjaringkan dua gol dan tujuh bantuan jaringan sepanjang tujuh penampilan.

"Luar biasa. Pemain utama gemar muncul di pentas terbesar," kata Guardiola mengenai prestasi De Bruyne.

"Ia adalah masa yang tepat apabila anda berada di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan bermula dengan baik," katanya lagi.

Juara EPL itu kini memenangi 11 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan mereka kekal di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan treble musim lalu iaitu memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

Copenhagen tidak bermain dalam perlawanan kompetitif selama dua bulan sejak mengesahkan tempat mereka dalam pusingan 16 terakhir dengan menyingkirkan Manchester United dan Galatasaray di peringkat kumpulan.

"Mereka melalui kempen peringkat kumpulan yang hebat, jadi kami perlu menghormati mereka," kata De Bruyne.

"Kami bermula dengan baik tetapi saya rasa kami melakukan satu kesilapan dan mereka memanfaatkannya.

"Kami mempamerkan permainan yang sangat bagus. Pada separuh masa kedua kami mencipta banyak peluang, boleh menjaringkan lebih banyak gol dan bernasib baik pada akhirnya kami menjaringkan gol ketiga, jadi kami ada sedikit kelebihan sekarang," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:15 AM