SKUAD Harimau Malaya.
SKUAD Harimau Malaya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penambahan kuota pemain import dalam saingan Liga Super musim ini bakal menyebabkan bakat tonggak tempatan dipersiakan.

Hal ini kerana, menurut bekas pemain kebangsaan Razman Roslan peluang anak tempatan untuk beraksi dalam kesebelasan utama boleh dikatakan semakin sukar kelak.

Dia yang juga bekas pertahanan Selangor menjelaskan, ia kerana kebanyakan pasukan akan lebih mengutamakan pemain import untuk diletakkan dalam skuad utama.

"Kalau tanya saya, perkara itu ada pro dan kontra. Apabila ramai pemain import, kita akan kekurangan pemain tempatan, (peluang) mereka nak beraksi untuk pasukan utama mungkin agak kurang.

"Pemain yang di bawah menunggu untuk naik, tapi apabila sampai masanya, tambah pula import. Secara jujurnya memang amat merugikan untuk pemain tempatan.

"Kita ada ramai bakat yang kita boleh kembangkan. Kadang-kadang pemain import bukan bagus, tapi disebabkan nama dia import, jurulatih pakai juga.

"Sebagai liga profesional yang nak main ke ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan sebagainya memang perlukan macam slot enam import (atas padang), saya berasa MFL pun terpaksa buat," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Kelmarin, MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan yang bersaing di pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

Ia bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (ASEAN) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

Selain itu, Razman tidak menolak kemungkinan bahawa pertambahan pemain import juga boleh memberikan kesan kepada pasukan Harimau Malaya.

"Saya berasa sedikit sebanyak mungkin terjejas (pasukan kebangsaan), sebab benda itu sudah terbukti. Pada 2009, 2010 kita tak pakai import tetapi kita dapat melahirkan pemain seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan sebagainya.

"Jadi kita nampak ada hasil apabila kita menang Piala AFF. Sekarang ini apabila ramai sangat pemain import, pemain muda yang kita siapkan dan sepatutnya bermain untuk pasukan kebangsaan tidak terpilih disebabkan kurang minit permainan dan ramai pemain naturalisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 2:48 PM