JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini mendahului saingan Liga Super dan berpeluang cerah mengekalkan gelaran. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini mendahului saingan Liga Super dan berpeluang cerah mengekalkan gelaran. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perubahan kalendar liga bermula Ogos hingga Mei bakal memberi manfaat besar buat pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terutama membabitkan perpindahan pemain.

Pandangan itu disuarakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang mengakui menjadi satu kerugian buat Liga M jika tidak mengikut kalendar baharu AFC yang menetapkan permulaan musim depan dari Ogos ke Mei.

Begitupun sebarang perubahan tertakluk kepada persatuan bola sepak negara masing-masing dengan Malaysia masih lagi menggunakan kalendar dari Februari hingga November.

"Bukan semua negara harus tukar, tapi kalau boleh tukar ia akan menjadi satu keseragaman. Jadi jendela perpindahan semua akan jadi sama untuk semua negara.

"Contoh kalau kita nak hantar pemain ke Jepun jendelanya akan jadi sama. Dia (kelab luar) nak daftar, tapi kita (Liga M) masih lagi main, itu kena fikir. Sebab itu kita kena tukar, sebab kebanyakan pemain daripada Asia tidak dapat sain di Eropah sebab jendela perpindahan lain.

"Jadi kita rugi, jadi itu satu perkara yang penting. Jadi jika FAM nak pindah itu tertakluk kepada mereka. Kelebihan mengikut kalendar AFC itu kelebihannya lebih banyak daripada kekurangan.

"Kalau seorang pemain Malaysia nak pindah ke negara lain misalnya di Asia pun, kalau tarikh perpindahan lain jadi susah lah. Nak daftar pemain baru, tapi kat sini main lagi. Jadi pemain akan sentiasa hilang peluang sebab jendela berbeza," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan kalendar Liga M bakal berubah dalam tempoh dua musim akan datang dengan jangkaan saingan musim 2024-2025 bakal menyaksikan saingan tempatan mengikut kalendar liga Eropah dari Ogos hingga Mei.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, perubahan itu dilihat penting dan wajar selepas AFC mengesahkan mulai musim depan kalendar saingan kelab-kelab Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC berubah mengikut kalendar pertandingan di Eropah.

Bagaimanapun, Liga M memerlukan masa untuk mengkaji sebelum melaksanakannya pada musim 2024 atau 2025 kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:59 PM