ARTETA gembira bersama Arsenal.
ARTETA gembira bersama Arsenal.
AFP

London: Mikel Arteta membidas laporan yang mendakwa dia bakal meninggalkan Arsenal untuk menjadi pengurus Barcelona dan menganggapnya berita palsu.

Laporan di Sepanyol semalam mendakwa Arteta memberitahu rakan sekerja dia akan meninggalkan Stadium Emirates dan kembali ke Barcelona pada penghujung musim ini.

Pengurus Barca Xavi kelmarin mengumumkan dia bakal meletak jawatan pada musim panas susulan beberapa keputusan mengecewakan yang mencetuskan spekulasi Arteta antara calon pilihan menggantikannya.

Arteta sekian lama dikaitkan dengan Camp Nou tetapi jurulatih berusia 41 tahun itu menegaskan dia mahu kekal fokus membawa Arsenal meraih gelaran pertama Liga Perdana Inggeris sejak 2004.

"Saya di tempat yang betul dan berada bersama orang yang tepat," kata Arteta kepada wartawan semalam.

"Saya rasa sangat bagus mengenainya. Seperti selalu saya sebutkan, saya gembira dengan kelab ini, pemain dan petugasnya.

"Banyak lagi perlu dilakukan di sini. Kami berkongsi cita-cita sama dan anda boleh rasakan bersama. Kami mahukan lebih lagi, kami tak boleh puas hati dan kelab mahu tahap lain daripada apa kami sudah lakukan."

Menafikan laporan yang mengaitkannya dengan Barca, Arteta mengakui dia terkejut ketika mereka bersiap sedia untuk menentang Nottingham Forest dalam aksi EPL awal pagi esok.

"Jelas ia berita palsu. Saya tak tahu daripada mana ia datang dan sama sekali tak benar. Saya terkejut dan kecewa dengan berita itu.

"Saya tak percaya langsung. Daripada mana ia datang dan ia tidak mempunyai sumber. Saya faham kita di dalam industri ini tetapi saya tak fikir sesiapa sahaja selesa dengan berita palsu ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 10:10 AM