ARTETA dikaitkan dengan jawatan jurulatih Barcelona. FOTO AFP
ARTETA dikaitkan dengan jawatan jurulatih Barcelona. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta berkata beliau hanya mahu memberi fokus sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik di Arsenal selepas dikaitkan dengan jawatan jurulatih Barcelona.

Beberapa laporan di Sepanyol pada minggu ini mendakwa calon presiden, Joan Laporta sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pengurus Gunners itu jika beliau memenangi kerusi nombor satu itu semula.

Laporte yang pernah menggalas tugas presiden sebelum ini, melantik Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih ketika era kegemilangan Barcelona.

Arteta kemudian menjadi penolong pengurus Guardiola di Manchester City sebelum mengambil alih tugas sebagai pengurus Arsenal pada Disember 2019.

Kini Arteta menjadi antara pilihan utama untuk menggalas tugas jurulatih jika Laporta memenangi sesi pemilihan pada 7 Mac ini.

"Akan selalu timbul spekulasi apabila tiba sesi pemilihan di Barcelona," kata Arteta ketika ditanya mengenai tugas jurulatih di Barcelona yang ketika ini dipikul oleh Ronald Koeman.

"Saya membina karier di sana sebagai pemain dan pastinya akan terus dikaitkan dengan kelab itu. Tapi saya hanya fokus kepada tugas sekarang.

"Apa yang boleh saya katakan ialah, saya berbangga dapat menjadi pengurus kelab ini dan sangat gembira."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 10:40 PM