PAULO  Josue (tengah) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan semalam.
PAULO Josue (tengah) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan semalam.
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


BARISAN pertahanan skuad Harimau Malaya bersedia membentuk tembok ampuh seampuh 'Tembok Besar China' bagi mengekang Bahrain daripada meraih sebarang gol dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia.

Ia dilaungkan tonggak pertahanan tengah negara, Shahrul Saad pada sidang media menjelang aksi getir itu yang akan dilangsungkan di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, esok.

Katanya, motivasi pasukan berada di tahap tertinggi dan masing-masing sudah bersedia untuk turun berjuang memburu kemenangan.

"Kami membuat persiapan sebaiknya dalam beberapa hari lalu dan pemain semuanya dalam mood positif. Kami tahu bahawa kami boleh melakukan sesuatu untuk perlawanan esok dan itu pasti.

"Malah pasukan ini juga mempunyai barisan pemain berkualiti dan kami tahu kami mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini.

"Kami akan turun menjaringkan gol dan kami juga akan bertahan dengan sebaiknya bagi memastikan kemenangan berpihak kami," kata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Sebelum ini, Malaysia tumbang 0-4 di tangan Jordan dalam aksi pertama di Stadium Al Janoub Selasa lalu.

Kemenangan ke atas Bahrain bukan saja membuka ruang mengintai slot ke pusingan kedua, malah meleburkan rekod tanpa kemenangan ke atas negara Asia Barat itu sejak 45 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 6:14 PM