CAMARA (tengah) melompat ke atas belakang Mane ketika meraikan jaringan untuk Senegal. FOTO AFP
CAMARA (tengah) melompat ke atas belakang Mane ketika meraikan jaringan untuk Senegal. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Lamine Camara menjaringkan dua gol bagi membantu Senegal memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan 3-0 ke atas Gambia, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dua lagi pasukan berstatus heavyweights, Algeria dan Cameroon seri dalam perlawanan pembukaan mereka.

Senegal yang diketuai Sadio Mane berharap dapat mempertahankan trofi dimenangi di Cameroon, dua tahun lalu dan dilihat terlalu gagah buat jiran mereka, Gambia, yang terpaksa beraksi keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain.

Pemain tengah Marseille, Pape Gueye menyempurnakan umpanan Mane bagi membolehkan pasukan digelar Lions of Teranga itu berada di depan selepas empat minit perlawanan bermula di ibu negara Ivory Coast, Yamoussoukro.

Gambia dibelenggu pelbagai masalah sebelum kejohanan termasuk pemain memboikot sesi latihan berikutan tidak dibayar bonus ketika kempen kelayakan sebelum pesawat mereka ke Ivory Coast diarah berpatah balik selepas sembilan minit berlepas kerana masalah teknikal.

Gambia yang layak ke suku akhir pada kempen 2022 menyaksikan pemain tengah Cardiff, Ebou Adams dibuang padang kerana menerjah pemain lawan sebelum rehat.

Kesempatan itu digunakan Senegal itu mengesahkan kemenangan pada awal babak kedua apabila Camara, 20, yang dipilih Pemain Muda Terbaik Afrika, merembat rendah ke penjuru gawang dan menjadikan kedudukan 2-0.

Dia kemudian melengkapkan kemenangan dengan jaringan menarik boleh dianggap sebagai pencabar jaringan menarik kejohanan pada minit ke-86.

Senegal yang dibimbing Aliou Cisse akan berdepan perlawanan Kumpulan C lebih sukar apabila bertemu juara lima kali, Cameroon, selepas ini.

Pasukan digelar Indomitable Lions yang juga juara pada 2017 itu terpaksa bangkit untuk seri 1-1 menentang Guinea yang beraksi dengan 10 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 10:41 AM