PERLAWANAN Spurs menentang Bournemouth di Stadium Hotspur. -FOTO Reuters
PERLAWANAN Spurs menentang Bournemouth di Stadium Hotspur. -FOTO Reuters
Agensi

London: Tottenham Hotspur menamatkan rentetan mengagumkan Bournemouth apabila melakar kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang membanggakan hasil jaringan Pape Matar Sarr, Son Heung-min dan Richarlison lewat malam tadi.

Bournemouth tidak kalah dalam tujuh perlawanan liga dengan enam kemenangan dalam tempoh itu dan mereka pasti bingung bagaimana catatan itu tidak dapat dilebarkan ketika mereka mendominasi dalam hujan lebat di London utara.

Kemenangan itu bagaimanapun menelan kos yang tinggi apabila kedua-dua penyerangnya Pape Matar Sarr dan Alejo Veliz dibawa keluar padang sambil menangis akibat mengalami kecederaan semasa perlawanan.

Sarr dikeluarkan selepas setengah jam beraksi dengan dia kelihatan seperti mengalami kecederaan hamstring manakala Veliz mengalami kecederaan pada lututnya.

Kedua-dua pemain itu pasti kecewa tetapi atas sebab yang berbeza, Sarr kerana kecederaannya mungkin bermakna penyertaannya dalam pertandingan Piala Negara-Negara Afrika bulan depan bersama Senegal terjejas manakala Veliz kerana berasa sangat sakit tetapi cuba bertahan.

Pengurus Spurs, Ange Postecoglou memaklumkan mengenai kecederaan kedua-dua pemainnya dan walaupun beliau tidak memberikan banyak maklumat terkini mengenai situasi kedua-dua pemain berkata, beliau berharap kecederaan Sarr tidak begitu teruk sehingga menghalangnya untuk beraksi dalam pertandingan.

"Sukar untuk dikatakan. Pape merasakan hamstringnya sakit dan dia emosi kerana dia mahu beraksi bersama pasukan kebangsaannya.

"Ia satu kejohanan besar untuk mereka. Dia begitu baik sekali lagi pada awal permainan, selain daripada golnya dan kemudian dia mendapat kecederaan.

"Mengecewakan baginya tetapi saya harap ia tidak terlalu serius dan dia masih boleh pergi dan menyumbang kepada negaranya.

Kemenangan Tottenham itu menghidupkan kembali harapan dalam pertarungan yang semakin sengit untuk menduduki tempat empat teratas.

Mereka berada di tempat kelima dengan 39 mata daripada 20 perlawanan, satu di belakang Arsenal di tangga keempat dan hanya tiga di belakang pendahulu Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 9:29 AM