ETO’O cetus kontroversi.
ETO’O cetus kontroversi.
Agensi

London: Bekas bintang Barcelona, Inter Milan dan Chelsea Samuel Eto'o disaman anak perempuannya sendiri, menurut laporan media.

Bekas penyerang itu yang kini mengetuai FA Cameroon berdepan saman di Itali selepas Annie berusia 21 tahun mendakwa Eto'o tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap keluarga terutama dari segi kewangan.

Annie dilahirkan di Padova, Itali pada 2002 hasil hubungan dengan wanita Sardinia bernama Anna Maria Barranca.

Dia disahkan sebagai anak perempuan Eto'o tetapi Pemain Terbik Afrika empat kali itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Menurut media Itali Gazzetta dello Sport, pelajar universiti itu membuat aduan kepada Pejabat Pendakwaraya Awam Milan menerusi peguam Daniele Vianello.

Aduan itu bertarikh 13 Oktober dan dibuat selepas dia gagal dalam usaha terbaru menghubungi 'bapanya' itu.

Annie adalah pelajar sepenuh masa di Milan dan hanya bergantung kepada ibunya yang bergelut memenuhi keperluan hidup.

Pada 2015, Eto'o diarah membayar Anna wang penjagaan anak berjumlah €10,000 (RM51,000) tetapi dia kemudiannya mungkir janji sekali gus proses perundangan berterusan.

Ini bukan kali pertama Eto'o berdepan situasi seumpama itu. Seorang lagi anaknya Erika Do Rosario Nieves, mendakwa dia memungkiri pembayaran jagaan anak di Sepanyol.

Erika secara rasmi disahkan sebagai anak perempuan Eto'o pada Februari 2022 dan pemain berusia 42 tahun itu perlu membayar €1,400 (RM7,000) sebulan kepada Erika dengan pelan pembayaran bermula 2018 ketika tindakan perundangan mula diambil.

Menurut media Sepanyol EFE, Eto'o bertemu wanita bernama Adileusa di kelab malam pada 1997 ketika dia dipinjamkan ke Leganes dari Real Madrid.

Adileusa kemudiannya mengandung pada Februari 1998 tetapi Eto'o dikatakan mula enggan menjawab panggilan dan mesej menyebabkan wanita itu mengambil tindakan undang-undang pada 2018.

Eto'o berkahwin dengan isterinya Georgette sejak 2007 dan pasangan itu mempunyai empat anak: Maelle, Etienne, Siena dan Lynn.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:54 PM