KIM Swee mengakui perlawanan akhir Liga Super itu di halaman sendiri itu sangat penting kepada Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
KIM Swee mengakui perlawanan akhir Liga Super itu di halaman sendiri itu sangat penting kepada Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC percaya mampu bangkit untuk merebut kedudukan di tempat ketiga carta Liga Super musim ini pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, Ahad ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata walaupun prestasi pasukannya dilihat merosot apabila kalah 3-1 di tangan PSM Makassar dalam aksi akhir Piala AFC bagi Kumpulan H, malam tadi, ia tidak sama dengan Liga Super.

Apa yang penting, katanya pemain Sabah perlu belajar daripada kesilapan yang berlaku malam tadi, lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang sendiri.

"Ini perlawanan yang berbeza di mana kita tahu pasukan Kedah pun akan melakukan perkara sama dan di sini kita harus belajar daripada kesilapan kita," katanya mengulas situasi Sabah untuk berdepan saingan akhir Liga Super, Ahad ini.

Kim Swee mengakui perlawanan akhir Liga Super itu di halaman sendiri itu sangat penting kepada Sabah dalam usaha menyamakan kedudukan yang dicapai pasukan berkenaan pada musim lalu.

Jelasnya, perlawanan itu bakal menjadi penentu sama ada Sabah yang ketika ini berada di kedudukan keempat mampu mengambil alih kedudukan itu daripada seterunya, Kedah.

"Bermain di tempat sendiri terutama pada perlawanan terakhir Liga Super amat penting di mana ia akan menentukan sama ada kita berjaya mendapatkan tempat ketiga seperti mana kita capai pada musim lalu.

"Saya percaya kita boleh bangkit selepas ini," katanya.

Setakat ini, Sabah mengumpul 51 mata, hanya ketinggalan dua mata di belakang Kedah untuk merebut kedudukan di tempat ketiga Liga Super 2023.

Jika memenangi perlawanan akhir Ahad, ini Sabah bakal menambah tiga mata untuk mengumpul 54 mata, sekali gus memintas Kedah bagi meletakkan Sang Badak kembali ke kedudukan ketiga seperti musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 4:14 PM