STEINBRUCKNER (kiri) bersama pemain, Sony Norde  semasa sidang media menjelang perlawanan aksi terakhir kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). -FOTO Ghazali Kori
STEINBRUCKNER (kiri) bersama pemain, Sony Norde semasa sidang media menjelang perlawanan aksi terakhir kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner boleh tersenyum selepas khidmatnya masih diperlukan skuad itu pada musim depan.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dalam hantaran Facebooknya yang turut memuat naik sekeping gambar beliau bersama Steinbruckner di padang.

Pengesahan itu juga sudah pasti melegakan peminat setia skuad Penyu yang sebelum itu mengharapkan jurulatih berusia 57 tahun itu kekal membimbing skuad itu pada musim depan.

"Gambar ini sudah memadai untuk menggambarkan siapa bakal ketua jurulatih TFC musim depan. Saya ingin nasihatkan semua peminat bola sepak Terengganu supaya tidak terpedaya dengan berita yang tidak sahih sumbernya.

"Saya mengira penjelasan ini sudah cukup melegakan semua penyokong bola sepak Terengganu," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.

Pengesahan itu juga sekali gus memadamkan khabar angin bahawa bekas pengendali TFC musim lalu, Nafuzi Zain bakal kembali ke bumi Terengganu untuk mengemudi skuad TFC pada musim depan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri berkata, PBSNT telah memberi mandat kepada Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal dan pemilihan bagi mengemukakan cadangan barisan kejurulatihan serta pemain untuk setiap pasukan bawah TFC Sdn Bhd pada musim depan.

Katanya, langkah berkenaan bagi mengelak campur tangan daripada pengerusi dan ahli lembaga pengarah PBSNT dalam proses pembentukan pasukan dan pelantikan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi dan mana-mana pihak secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:55 PM