STUART Ramalingam. FOTO Bernama
STUART Ramalingam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menaruh harapan supaya kelab Liga Malaysia (Liga M) yang beraksi dalam saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) dan Piala AFC bagi musim 2022 berusaha merebut peluang menjadi tuan rumah untuk pertandingan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, penganjuran pertandingan itu di negara ini akan melancarkan lagi perjalanan saingan Liga M terutama membabitkan hari yang 'dibazirkan' untuk tempoh kuarantin.

Beliau berkata, jika tiga pasukan berkenaan beraksi di luar negara, ia menyebabkan mereka perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari sekali gus mengganggu perjalanan liga kelak.

"Malaysia agak berbeza kerana kita ada pasukan di ACL dan Piala AFC. Jadi kita akan berdepan kesulitan dalam penyusunan kalendar kerana kita perlu mempertimbangkan jadual dua pertandingan itu.

"Format Piala FA terpaksa dikorbankan bagi memberi fleksibiliti dan masa untuk skuad kebangsaan kerana jika tidak, kita tidak akan mencapai kelonggaran yang diperlukan.

"Secara peribadinya, saya harap kita boleh adakan (ACL dan Piala AFC) di sini. Kita sentiasa berhubung rapat dengan semua pasukan yang bertanding dan sudah tentu ada yang berminat untuk menjadi tuan rumah.

"Kita memperuntukkan 14 hari hanya untuk kuarantin pasukan selepas aksi ACL dan Piala AFC. Jadi kalau kita dapat menjadi tuan rumah, ia akan memberi kesan yang positif kepada liga kita sendiri," katanya.

Mengikut rekod, Johor Darul Tak'zim (JDT) layak ke ACL sebagai juara Liga Super 2021 manakala Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City (KL City) masing-masing menyertai Piala AFC selaku naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia 2021.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengakui tindakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meneruskan penganjuran secara venue berpusat itu sebagai langkah terbaik selepas berdepan ketidaktentuan dengan situasi pandemik Covid-19.

"Ini adalah senario yang terbaik untuk semua pasukan yang bertanding. Ini juga akan membantu pasukan khususnya bagi mengelak timbul isu pasukan tidak dibenarkan terbang keluar dan masuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 12:04 PM