HAQIMI Azim Rosli.
HAQIMI Azim Rosli.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur

Hati mana yang tidak luluh apabila 'dipaksa tanpa rela' meninggalkan kem skuad bawah 23 (B-23) tahun negara selepas disahkan mengalami kecederaan serius di bahagian buku lali yang koyak.

Situasi duka itu terpaksa ditempuh penyerang berbakat negara, Haqimi Azim Rosli yang disahkan mengalami kecederaan itu ketika menjalani latihan fasa akhir di Bangkok, Thailand beberapa jam sebelum pasukan turun menentang Bangladesh Rabu lalu.

Jelas Haqimi yang juga penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City) itu, dia nyata kecewa tidak dapat meneruskan perjuangan bersama skuad B-23 yang sedang beraksi di Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok ketika ini.

"Siapa tak kecewa apabila terpaksa dihantar balik untuk menjalani proses rawatan dan pemulihan ketika hampir dengan hari perlawanan.

"Saya memang kecewa sangat tak dapat bantu rakan-rakan yang lain di kelayakan itu. Saya memang nak main, nak bantu negara kita dalam misi layak ke Piala Asia.

"Tapi saya tak dapat teruskan sebab saya tercedera sebelum perlawanan dengan Bangladesh. Jadi saya kena balik untuk dapat rawatan sebaiknya di sini," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Haqimi, 20, adalah antara ayam tambatan yang dipanggil semula oleh pengendali B-23, E Elavarasan bagi memperkukuhkan jentera hadapan selepas dia tidak bersama pasukan di Piala AFF B-23 bulan lalu.

"Mula-mula masa kena itu, tak ada apa-apa. Tapi bila dah buat ujian MRI, buku lali saya disahkan terkoyak. Jadi saya kena berehat selama tiga hingga empat minggu untuk pulih kembali," katanya.

Di Bangkok ketika ini, skuad Harimau Muda kini menghuni tangga kedua Kumpulan H di belakang Thailand dengan pungutan mata sama selepas Malaysia berjaya membenam Bangladesh 2-0 sebelum ini.

Thailand pula pada aksi pertama cukup gagah apabila mudah membelasah Filipina 5-0, untuk meletakkan mereka di puncak kumpulan dengan kelebihan gol.

Ujar Haqimi lagi, dia percaya rakan sepasukan mampu mencipta sesuatu di Bangkok, malah dengan kehadiran Luqman Hakim Shamsudin yang berpengkalan di Eropah akan menambah keyakinan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 3:54 PM