HANNAH Yeoh bergambar dengan pengajur dan ahli Jawatankuasa ketika seminar Asean Women In Sport di Grand Dersert Hotel, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib
HANNAH Yeoh bergambar dengan pengajur dan ahli Jawatankuasa ketika seminar Asean Women In Sport di Grand Dersert Hotel, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib
Ferzalfie Fauzi


Subang Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu memperkenalkan jualan tiket harga rahmah untuk perlawanan pembukaan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihaknya sentiasa memahami denyut nadi peminat bola sepak tempatan dan kini sedang menanti jawapan balas daripada FAM.

"FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan," katanya selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan Asean 2023 hari ini.

Ujar Hannah, beliau melihat ada yang memberikan pendapat bahawa tiket untuk perlawanan itu dijual dengan harga rahmah.

"Saya juga melihat komen yang meminta tiket rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM). Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

"Sebaiknya boleh untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan padu," katanya.

Dalam pada itu, Hannah mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan.

"Soal hak penyiaran dikendalikan FAM, jadi saya tidak mahu komen kerana mereka ada perjanjian mereka. Tetapi apa KBS boleh bantu adalah kita akan selalu buat skrin gergasi supaya lebih ramai rakyat yang tidak beli tiket boleh akses di semua lokasi seluruh Malaysia," katanya.

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju dengan penetapan harga tiket oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM bagi perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia lwn Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis, 16 November 2023, jam 9 malam.

Harga tiket yang ditetapkan bagi perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Penetapan harga-harga tiket tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 5:45 PM