PEMAIN Perak FC, Luka Milunovic (tengah) berebut bola dengan pertahanan Sabah, Dominic Tan pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. FOTO BERNAMA
PEMAIN Perak FC, Luka Milunovic (tengah) berebut bola dengan pertahanan Sabah, Dominic Tan pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain Perak FC layak meraikan kejayaan menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun hakikatnya lawan mereka nanti adalah juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, anak buahnya mempamerkan aksi cukup mantap apabila menang 1-0 ke atas Sabah FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, malam tadi.

Beliau berkata, pasukannya tidak meletakkan harapan tinggi dalam saingan Piala Malaysia termasuklah mencipta keputusan mengejutkan dengan mengalahkan pasukan gergasi seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC untuk ke separuh akhir.

"Malam ini pemain saya berhak untuk meraikannya walaupun menanti kami di separuh akhir adalah satu pasukan yang amat kuat.

"Tapi biarlah kami meraikan dulu kejayaan pasukan ke separuh akhir. Sekali lagi saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya, sudah empat bulan setengah bersama.

"Pemain merealisasikan impian pihak pengurusan dan ia bukannya daripada saya. Pemain memberi lebih 100 peratus sepanjang permainan," katanya.

Pengendali berusia 47 tahun itu lega apabila barisan pemainnya yang mula ditekan Sabah khusus pada babak kedua, berjaya mengekalkan kedudukan agregat 3-2 sehingga tamat permainan.

Namun, pada masa sama beliau tidak senang duduk memandangkan beberapa pemain tonggak berdepan masalah kecederaan.

"Tapi, kecederaan yang berlaku ini sebenarnya menambah semangat pemain yang baru dibawa masuk seperti Fadhil Idris, Hakimi Mat Isa, Nik Umar Nik Aziz dan Farris Izdiham.

"Semuanya adalah pemain muda dan saya harapkan berterusan bagi saki baki permainan yang ada," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Perak FC membuat kejutan apabila menempah slot separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Keputusan itu menyaksikan skuad Bos Gaurus mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 4:26 PM