WATARU Endo meraikan kejayaannya menjaringkan gol buat Liverpool. -FOTO AFP
WATARU Endo meraikan kejayaannya menjaringkan gol buat Liverpool. -FOTO AFP
AFP

Paris: Liverpool menewaskan Toulouse 5-1 untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut Liga Europa manakala Brighton menewaskan kelab gergasi Belanda, Ajax untuk meraih kemenangan pertama kelab itu dalam pertandingan benua.

Diogo Jota meletakkan Liverpool di depan di Anfield tetapi Thijs Dallinga menyamakan kedudukan buat juara Piala Perancis itu.

Wataru Endo menanduk masuk gol pertamanya untuk meletakkan Liverpool kembali di depan selepas setengah jam beraksi dan Darwin Nunez meledak gol tiga minit kemudian.

Ryan Gravenberch menjaringkan gol keempat pada separuh masa kedua hasil dari bola lantunan selepas percubaan Nunez di tepis penjaga gol dan terkena tiang.

Mohamed Salah kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring gol kelima pada masa kecederaan.

"Kami mengawal perlawanan sepenuhnya. Kami menyumbat gol yang bagus, tiada siapa yang cedera, malam yang sempurna," kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp

Liverpool mengungguli Kumpulan E dengan sembilan mata dan boleh mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir dengan satu lagi kemenangan di Perancis dua minggu lagi.

Mereka kini lima mata mengatasi Toulouse dan Union Saint-Gilloise dari Belgium yang meraih dua gol lewat perlawanan untuk mengatasi LASK dari Austria 2-1.

Sementara itu Brighton meraih kemenangan pertama di Eropah apabila menewaskan Ajax 2-0, menambah kesengsaraan kepada kelab yang dilanda krisis selepas jurulatih Maurice Steijn dipecat hanya empat bulan mengendalikan kelab itu.

Ajax yang juga juara Eropah empat kali itu ketinggalan di Stadium Amex sejurus sebelum separuh selepas Joao Pedro menjaringkan gol pertama buat Brighton.

Ansu Fati meledak gol kedua buat tuan rumah pada awal separuh masa kedua dengan anak buah Roberto De Zerbi berada di tempat kedua di belakang pendahulu Kumpulan B, Marseille.

"Kemenangan pertama di Eropah untuk Brighton. Ia adalah hari yang hebat untuk peminat kami, kelab kami, pemilik kami. Kami sangat berbangga untuk memberi mereka hari ini," kata De Zerbi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 7:21 AM