HOJLUND dan Eriksen akan diketepikan dari skuad Denmark dalam aksi kelayakan Euro 2024. -FOTO AFP
HOJLUND dan Eriksen akan diketepikan dari skuad Denmark dalam aksi kelayakan Euro 2024. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester United mungkin akan kehilangan Rasmus Hojlund dalam kunjungan penting Liga Juara-Juara ke Galatasaray, manakala Christian Eriksen akan diketepikan selama sebulan sekali gus memberi tamparan terbaru kepada Red Devils.

Hojlund kini menjaringkan lima gol dalam empat penampilannya di Liga Juara-Juara bersama United namun kelab itu berada di ambang penyingkiran menjelang kunjungan mereka ke Istanbul pada 29 November.

United berharap pemain berusia 20 tahun itu akan kembali cergas sebelum akhir bulan ini selepas mengalami ketegangan otot lewat perlawanan ketika mereka melakar kemenangan 1-0 ke atas Luton, Sabtu lalu.

Manakala Eriksen terpaksa diganti di awal permainan dalam perlawanan yang sama dan akan diketepikan lebih sebulan kerana masalah lutut.

Kedua-dua pemain juga diketepikan dari skuad kebangsaan Denmark untuk dua perlawanan terakhir kelayakan Euro 2024 menentang Slovenia dan Ireland Utara.

Denmark yang mara ke separuh akhir Euro 2020, hanya memerlukan maksimum dua mata untuk memastikan mereka layak ke Jerman tahun depan.

"Christian mengalami kecederaan lutut yang akan menyebabkan dia tidak dapat bermain selama kira-kira sebulan manakala penyerang Rasmus mengalami ketegangan otot.

"Diharap dia akan kembali sebelum akhir November," kata United dalam satu kenyataan.

Erik ten Hag berdepan dengan masalah kecederaan merangsang kepada prestasi buruk United musim ini.

Pemain pertahanan Lisandro Martinez dan Luke Shaw terlepas hampir sepanjang musim ini, manakala pemain tengah berpengaruh Casemiro juga kini diketepikan akibat kecederaan hamstring.

United berada di tangga keenam dalam Liga Perdana, tujuh mata di belakang pendahulu Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 8:49 AM