JAMAL Nasir. FOTO NSTP
JAMAL Nasir. FOTO NSTP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Pasukan JDT (Johor Darul Ta'zim) memang hebat, kita tidak boleh nafikan kelebihan itu" kata bekas tonggak pertahanan pasukan negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Beliau berkata, kekuatan skuad Harimau Selatan yang dipimpin oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah terbukti jelas dengan keupayaan muncul juara Liga Super sepuluh musim berturut-turut.

Katanya lagi, tidak mustahil JDT akan dapat terus mengekalkan kejuaraan dipentas kebangsaan sehingga tidak mungkin dapat disaingi oleh mana-mana pasukan kelab dan negeri yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, sehingga hari ini tidak ada lagi pasukan tempatan setanding dengan JDT yang memiliki pelbagai kelebihan dianggap istimewa bertaraf antarabangsa bermula daripada stadium, pusat rawatan pemain, gimnasium dan pelbagai kemudahan.

"Di sebalik itu tonggak utama kekuatan skuad Harimau Selatan itu ialah barisan pemain tempatan dan antarabangsa yang berkualiti dan memiliki keupayaan tinggi setanding dengan status profesional yang dimiliki.

"Disokong pula dengan jurulatih dan barisan pegawai disemua peringkat berlatar belakangkan bolasepak bukan tangkap muat seperti berlaku pada beberapa pasukan dalam Liga M.

"Dan faktor utama meletakan JDT pada landasan sebenar dalam sukan bolasepak tempatan ialah sumber kewangan yang begitu kukuh, dengan adanya sumber kewangan yang mencukupi semua perkara boleh dilakukan dengan sempurna," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, secara peribadi dia berpendapat tidak ada pasukan yang setakat ini mampu mengugat kedudukan JDT dalam Liga M, hampir semua pasukan yang berhadapan diperingkat Liga Super dan Piala Malaysia gagal menewaskan skuad Harimau Selatan itu.

Paling hebat hanya mampu mencatat keputusan seri sahaja yang tewas dengan jaringan agak besar.

Jamal Nasir berkata, selagi pasukan kelab dan negeri tidak mampu mengikut langkah yang dicipta JDT, jangan mimpi mereka ingin menewaskan JDT seterusnya berangan menjulang piala Liga Super dan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 9:32 PM