MORATA menanduk masuk gol pertama Atletico Madrid.
MORATA menanduk masuk gol pertama Atletico Madrid.
AFP

Barcelona: Alvaro Morata menjaringkan dua gol untuk Atletico Madrid yang meranapkan permulaan sempurna Real Madrid musim ini menerusi kemenangan 3-1 dalam saingan La Liga awal pagi tadi.

Juara bertahan Barcelona menduduki tangga teratas ketika rekod 100 peratus Los Blancos musnah dalam perlawanan yang menyaksikan Antoine Griezmann turut meledak jaringan untuk Atletico yang berada di tangga kelima.

Real Madrid di tangga ketiga, satu mata di belakang Barcelona manakala Girona kedua selepas mereka gagal menandingi intensiti Atletico dalam aksi menarik di Stadium Metropolitano.

Morata menanduk masa gol pembukaan dan Griezmann menggandakan jaringan sebelum Toni Kroos merapatkan jurang untuk Madrid menerusi rembatan sebelum rehat.

Namun Morata sekali lagi menanduk masuk untuk gol ketiga sejurus selepas rehat sekali gus melegakan pengendali Diego Simeone yang melabelkan aksi hujung minggu lalu adalah yang terburuk sejak dia bersama kelab.

"Ia mengenai masalah pertahanan yang sebelum ini tidak berlaku dalam beberapa perlawanan awal," kata jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti kepada wartawan.

"Dalam masa hanya 45 minit mereka tiga gol mengatasi kami, ia bukan malam yang bagus. Pasukan tidak kompak dan Atletico mengambil kesempatan pada babak pertama."

Pemain Atletico Madrid meraikan kemenangan mereka dengan penyokong selepas tamat perlawanan dan Simeone menghamburkan pujian kepada pemainnya.

"Paling penting ialah pemain dapat kembali semangat perjuangan mereka yang sangat penting untuk perlawanan seterusnya," kata jurulatih dari Argentina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 9:14 AM