NAGELSMANN tidak bekerja sejak Mac lalu. Reuters
NAGELSMANN tidak bekerja sejak Mac lalu. Reuters
Agensi

Munich, Jerman: Julian Nagelsmann diberikan tempoh sembilan bulan untuk memulihkan prestasi Jerman menjelang Euro 2024 selepas dipilih menggantikan Hansi Flick sebagai jurulatih pasukan kebangsaan hari ini.

Pengendali berusia 36 tahun itu menggantikan Flick yang dipecat susulan beberapa keputusan buruk termasuk kekalahan memalukan 1-4 di tangan Jepun dalam aksi persahabatan awal bulan ini.

Nagelsmann tidak bekerja sejak dipecat Bayern Munich pada Mac selepas hanya kurang dua tahun menjalankan tugas.

Jerman menjadi tuan rumah pusingan akhir Kejohanan Eropah pada musim panas depan yang bermula 14 Jun sehingga 14 Julai 2024.

"Kami mempunyai Kejohanan Eropah di negara kami sendiri. Ia sesuatu yang istimewa," kata Nagelsmann. "Saya teruja menyahut cabaran ini. Kami berdepan kumpulan yang sukar tahun depan."

Perlawanan pertama Nagelsmann ialah aksi persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 14 Oktober di Connecticut sebelum berdepan Mexico di Philadelphia tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:54 PM