DARREN (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan semalam. FOTO FB FAM
DARREN (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan semalam. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang skuad Harimau Malaya, Darren Lok akui pasukan negara sepatutnya mampu menewaskan Syria berdasarkan deretan peluang terhidang pada aksi persahabatan antarbangsa di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China petang semalam.

Meskipun pemain Sabah FC itu bersyukur pasukan berjaya bangkit untuk mengikat Syria dengan 2-2, namun dia kecewa tidak dapat membantu pasukan mencatatkan kemenangan ke atas lawan yang menghuni ranking 94 dunia itu.

"Saya sedikit ralat apabila tidak mampu untuk menang perlawanan tersebut kerana berjaya mencipta banyak peluang.

"Gembira dengan pasukan dapat bangkit daripada ketinggalan 2-0. Saya rasa pada babak kedua kita lebih baik yang mana kita mempunyai banyak peluang," katanya selepas aksi itu.

Lok yang juga pemain warisan dimasukkan oleh Kim Pan-gon pada babak kedua bagi menggantikan Paulo Josue yang kurang menyengat sepanjang 45 minit pertama.

Malah, Syria terlebih dulu memimpin aksi dengan jaringan Mardik Mardikian di minit ke-12 dan Yassin Samia empat minit sebelum tamat aksi babak pertama.

Tindakan Pan-gon merombak pasukan di separuh masa kedua berbaloi apabila Lok dan Akhyar Rashid meledak dua gol untuk mengejutkan lawan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Malaysia (ranking 136) sepanjang tahun ini.

"Mungkin sedikit kecewa kerana tidak dapat menang perlawanan tadi. Tapi keputusan 2-2 adalah keputusan yang baik untuk kita," katanya yang memiliki darah campuran England-Malaysia.

Kejayaan mengikat Syria memberi tonik tambahan buat pasukan menjelang ujian getir menentang pasukan di ranking lebih tinggi di kedudukan 80 dunia iaitu pasukan China dalam aksi persahabatan kedua Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 3:43 PM