ERLING Haaland menjadi tonggak utama Man City. FOTO REUTERS
ERLING Haaland menjadi tonggak utama Man City. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Manchester City membuka musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkunjung ke Burnley, Sabtu ini untuk memulakan usaha mereka muncul pasukan pertama memenangi kejuaraan liga empat kali berturut-turut.

Arsenal pula pasti mahu terus memberi saingan sengit kepada City dan akan turun melayan kunjungan Nottingham Forest, Sabtu ini.

City masih lagi merasai kejayaan musim lalu selepas muncul juara Liga Juara-Juara buat kali pertama selain menjulang Liga Perdana dan Piala FA.

Pep Guardiola berdepan cabaran apabila kapten, Ilkay Gundogan berhijrah ke Barcelona dan tawaran lumayan dari Arab Saudi menyaksikan sukar untuk Riyad Mahrez menolaknya.

City juga terpaksa berjuang untuk mengekalkan Kyle Walker dan Bernardo Silva, manakala dua pemain Croatia, Mateo Kovacic serta Josko Gvardiol adalah pendatang baharu dalam kelab itu.

Rakan sejawatan yang akan ditemui Guardiola pada perlawanan pertama itu adalah legenda City, Vincent Kompany yang pantas membuktikan dirinya selaku antara pengendali paling berbakat.

Bekas kapten Belgium itu mengubah nasib kelab yang mengalami krisis semasa musim pertamanya di Turf Moor apabila kembali membawa Burnley ke Liga Perdana ketika berbaki tujuh perlawanan.

Mendapat inspirasi daripada Guardiola, Kompany berjaya mengubah Burnley menjadi pasukan yang sering menguasai bola.

"Saya akan bermain setiap minggu setiap bulan setiap tahun menentang pasukan setaraf Man City. Itu adalah cara terbaik untuk menjadi yang terbaik," kata Kompany.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 9:33 AM