KOMPANY (kiri) gembira dengan kejayaan pasukannya bergelar juara liga perdana. -Foto Reuters
KOMPANY (kiri) gembira dengan kejayaan pasukannya bergelar juara liga perdana. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Vincent Kompany meraikan kejayaan Manchester City menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama peminat Manchester United dan kemudian mencabar kelab itu mencipta kejayaan sekali lagi pada musim hadapan. 

City memastikan kejuaraan tanpa perlu menyepak bola selepas musuh setempat, United mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada West Bromwich Albion, tengah malam tadi.

Tandukan Jay Rodriguez pada separuh masa kedua oleh kelab tercorot itu membolehkan pemain City dan peminat mereka meraikan kejayaan di seluruh Manchester.

Kompany yang juga kapten City menyaksikan perlawanan itu di rumah bersama isterinya, Carla Higgs, dan menjemput ayahnya yang juga peminat United untuk menyaksikan perlawanan itu.

Tontonan mereka sekeluarga itu mendapat perhatian media sosial selepas gambar ayah Carla yang memakai jersi United, sementara Kompany meraikan kejayaan kelabnya, dimuat naik di laman sosial.

“Ia menunjukkan bagaimana bola sepak di Manchester apabila kami mempunyai Reds di dalam keluarga dan juga Blues tetapi hari ini adalah hari buat The Blues. Ia sebenarnya adalah kelakar. Ia adalah hari yang hebat,” kata Kompany.

Kompany dilihat bercakap bersama rakan sepasukan City, Kevin De Bruyne dan Kyle Walker menerusi aplikasi Face-time bagi meraikan kejayaan mereka dengan nenek Carla bertanya mereka “Adakah mereka mahu datang?”

Kompany bersama kelab City sejak tahun 2008, dengan memainkan peranan utama dalam kelab itu. Pemain berumur 32 tahun itu memainkan peranan di sebalik ketiga-tiga kejayaan EPL yang dijulang City, begitu juga kemenangan Piala FA dan Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:56 PM