Reuters

London: Pertahanan Croatia, Josko Gvardiol menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dari kelab Bundesliga, RB Leipzig dengan perjanjian lima tahun.

Media Britain berkata, Gvardiol ditandatangani dengan harga €90 juta (RM452 juta), menjadikan pemain berusia 21 tahun itu pertahanan kedua termahal dalam sejarah di belakang Harry Maguire, yang ditandatangani dengan harga £80 juta (RM464 juta) oleh Manchester United pada 2019.

Gvardiol adalah pembelian kedua Pep Guardiola dalam jendela perpindahan ini selepas pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic menyertai dari Chelsea.

City memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara pertama mereka pada bulan Jun dan juga memenangi Piala FA untuk melengkapkan treble yang jarang berlaku.

"Saya sentiasa mengimpikan suatu hari nanti bermain di England dan melakukannya sekarang dengan Manchester City – selepas musim yang baru mereka hadapi – satu penghormatan sebenar bagi saya," kata Gvardiol dalam satu kenyataan.

"Sesiapa sahaja yang melihat Manchester City bermain musim lalu tahu mereka adalah pasukan terbaik di dunia. Untuk memenangi treble membuktikan segala-galanya yang anda perlu tahu tentang kualiti yang dimiliki pasukan ini.

"Berpeluang bekerja dengan Pep Guardiola adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya pasti permainan saya akan maju di bawah jurulatih terbaik dalam bola sepak."

GVARDIOL adalah pembelian kedua Guardiola dalam jendela perpindahan ini selepas Kovacic. FOTO Agensi
GVARDIOL adalah pembelian kedua Guardiola dalam jendela perpindahan ini selepas Kovacic. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 6:08 PM