HAMIDIN menunjukkan jam Caterpillar pada majlis kerjasama di Wisma FAM, semalam. FOTO FB FAM
HAMIDIN menunjukkan jam Caterpillar pada majlis kerjasama di Wisma FAM, semalam. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Spekulasi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bakal bertukar kerusi dengan menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus terpadam selepas beliau mengesahkan tidak berminat menyandang jawatan itu.

Ini kerana, Hamidin menjelaskan beliau tidak mahu berhadapan 'bola tanggung' dengan memegang jawatan mencabar terbabit, selain turut mahu memberi tumpuan kepada bola sepak negara.

Malah, beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpandangan ada calon lebih layak mengisi kerusi nombor satu BAM terbabit.

"Sudah tentu nama ini (calon Presiden BAM) boleh disebut oleh semua orang, tetapi saya tak berminat.

"Kena faham kerana saya sudah memegang jawatan besar dalam bola sepak dan masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat (untuk FAM).

"Mana boleh pegang dua jawatan nanti orang kata gila. Mana mungkin saya pegang dua persatuan besar yang memiliki ramai peminat di negara ini.

"Saya rasa tidak sesuai dan tidak bagus. Lebih baik kita hentikan spekulasi itu," kata Hamidin ketika ditemui selepas majlis kerjasama dengan syarikat pengedar rasmi jam tangan Caterpillar (CAT), Marco Worldwide (M) Sdn Bhd di Wisma FAM, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya itu pada hujung tahun ini.

Keputusan itu menyaksikan Norza bakal mengosongkan kerusi nombor satu badan induk berkenaan lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024, seperti diumumkannya pada 15 Julai lalu.

Mengulas mengenai keputusan diambil Norza itu, Hamidin menjelaskan semua pihak perlu memberi ruang kepadanya dan individu yang sesuai pasti dipilih bagi mengisi kekosongan itu.

"Saya fikir Tan Sri Norza sudah buat sesuatu untuk badminton dan di mana-mana pun, yang patah akan berganti.

"Saya pun begitu apabila akan meninggalkan FAM satu masa nanti. Beliau sudah membuat keputusan jadi kita beri ruang kepadanya," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 6:16 PM