Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan melepaskan kerusi nombor satu badan induk itu apabila sudah tiba masanya kelak.

Hamidin berkata, beliau bukannya seorang yang 'gila kuasa' hingga mahu memimpin FAM dalam tempoh 30 tahun.

Sebaliknya, beliau tidak boleh meninggalkan FAM begitu saja berikutan mahu memastikan badan induk itu dalam keadaan terbaik sebelum mengumumkan persaraan.

"(Saya) bukan nak duduk 30 tahun dekat sini (FAM). Saya fokus (buat kerja) dan saya tak takut. Sebab itu saya ke sini. Saya boleh tinggalkan FAM, tetapi FAM akan rosak buat ketika ini dan selepas itu akan bermasalah lagi.

"Saya akan pergi, masa itu orang tak tahu masa bila saya akan pergi. Dalam keadaan seperti ini, sebagai ketua mana boleh (tinggalkan FAM).

"Lagipun hanya kalah pasukan kebangsaan, bukan ada masalah kewangan atau masalah itu, masalah ini," katanya.

Sebagai rekod, Hamidin yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM mencipta sejarah apabila menjadi orang pertama yang bukan dalam kalangan kerabat diraja atau ahli politik dipilih sebagai Presiden FAM.

Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM pada Julai 2018 bagi menggantikan penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatannya pada Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:10 AM