NUNES sah sertai Man City. FOTO REUTERS
NUNES sah sertai Man City. FOTO REUTERS
AFP

London: Manchester City menandatangani pemain tengah Wolves, Matheus Nunes menerusi perpindahan bernilai £53 juta (RM312 juta) selepas menjual Cole Palmer kepada Chelsea pada jam-jam terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemenang treble itu mendapatkan Nunes untuk menggantikan bintang yang sedang meningkat naik, Palmer yang berhijrah ke Stamford Bridge dengan nilai perpindahan dianggarkan £40 juta (RM235.5 juta).

Nunes, yang bermain dalam Piala Dunia tahun lalu bersama Portugal, melakukan 41 penampilan untuk Wolves selepas menandatangani kontrak dari Sporting Lisbon tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama City dan mengakui tidak sabar untuk bekerja bersama pengurus, Pep Guardiola.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester City, juara Eropah dan kelab yang saya kagumi sejak sekian lama.

"Peluang untuk bekerja di bawah Pep Guardiola, salah seorang pengurus terhebat yang pernah ada, dan di samping beberapa pemain terbaik di dunia, adalah sesuatu yang saya tidak boleh tolak," katanya.

Pemain tengah City, Tommy Doyle pula menyertai Wolves secara pinjaman sepanjang musim.

City berminat untuk mengekalkan Palmer, tetapi tawaran lumayan Chelsea untuk mendapatkan pemain yang membantu England memenangi Kejohanan Eropah Bawah 21 tahun itu pada tahun ini sukar untuk ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 8:08 PM