MESSI beri impak pantas bersama Inter Miami. FOTO AFP
MESSI beri impak pantas bersama Inter Miami. FOTO AFP
AFP

Fort Lauderdale: Impak segera Lionel Messi di Amerika Syarikat berterusan apabila dia menjaringkan dua gol ketika Inter Miami meraih kemenangan 4-0 ke atas Atlanta United, sekali gus memastikan pasukannya mara ke pusingan kalah mati Piala Liga.

Pemenang Piala Dunia Argentina itu berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas masuk dari bangku simpanan ketika menjaringkan gol kemenangan minit ke-94 sewaktu menentang kelab Mexico, Cruz Azul, sebelum ini.

Pada perlawanan pertamanya menentang kelab Major League Soccer (MLS), Messi terlalu sukar untuk disekat oleh Atlanta dan sudah dapat membentuk persefahaman dengan pemain sayap Finland, Robert Taylor, yang membantu dirinya untuk menjaringkan dua lagi gol.

Piala Liga ialah kejohanan yang menghimpunkan semua pasukan teratas dari MLS serta Liga MX Mexico dan dengan dua kemenangan, Miami kini memimpin peringkat kumpulan serta mampu memenangi trofi pertama mereka.

Messi tidak perlu mengambil masa yang lama untuk meledak gol apabila dia melakukanya seawal minit ke-8 selepas menerima hantaran daripada bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Sergio Busquets.

Pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-22 hasil gerakan bersama pemain sayap Finland, Robert Taylor.

Miami menjadikan kedudukan 3-0, seminit sebelum rehat, apabila Messi memberi umpanan cantik kepada Benjamin Cremaschi sebelum melorongkannya kepada Taylor yang kemudian menyempurnakannya pada minit ke-44.

Lapan minit selepas memasuki babak kedua, Taylor menambah gol keempat untuk Miami.

"Setiap kali Leo menguasai bola, kami mempunyai beberapa pemain berlari di belakangnya dan ia mewujudkan banyak ruang.

"Dia boleh melakukan segala-galanya pada bola. Dia boleh menyimpannya dalam ruang yang sempit, dan dia membuat keputusan yang 100 peratus tepat pada masa itu," kata Taylor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 11:06 AM