BUSQUETS menjulang trofi LaLiga pada Mei lalu.
BUSQUETS menjulang trofi LaLiga pada Mei lalu.
Reuters

Miami: Inter Miami melengkapkan perjanjian menandatangani bekas pemain tengah Barcelona Sergio Busquets dengan kontrak sehingga 2025, umum kelab Major League Soccer (MLS) itu hari ini.

Busquets, 35, yang tidak memperbaharui kontraknya selepas 18 tahun bersama Barca akan bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan Lionel Messi.

"Saya gembira mengalu-alukan Sergio Busquets ke Inter Miami," kata pengurus Jorge Mas dalam kenyataan media. "Sejak hari pertama kami mahu membawa pemain terbaik dunia. Pencapaian Sergio menggambarkan kemampuannya ."

Pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol itu memiliki 143 kap dan bersara daripada peringkat antarabangsa selepas tamat Piala Dunia 2022 manakala dia beraksi lebih 700 perlawanan Barca, meraih sembilan gelaran LaLiga, tujuh Piala Raja Sepanyol, tiga trofi Liga Juara-Juara dan tiga Piala Dunia Kelab.

"Detik istimewa dan peluang sangat menarik yang sukar saya lepaskan. Saya amat teruja dengan karier saya seterusnya bersama Inter Miami," kata Busquets.

"Saya tertarik dengan kelab ketika saya dan Barcelona berkunjung ke sini tahun lalu dan sekarang saya gembira dan sedia mewakili kelab. Saya tak sabar membawa kejayaan yang menjadi impian Miami."

Sebelum ini, Busquets turut dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi selepas Al Hilal dan Al Nassr membuat bidaan untuk mendapatkan khidmatnya, menurut laporan media.

Miami menjangkakan Busquets dapat beraksi Sabtu ini apabila mereka menerima kunjungan kelab Mexico Cruz Azul dalam aksi pembukaan Piala Liga-Liga yang bakal menyaksikan penampilan sulung Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 7:50 AM