MESSI mengambil sepakan percuma ketika menentang Orlando, hari ini. FOTO AFP
MESSI mengambil sepakan percuma ketika menentang Orlando, hari ini. FOTO AFP
AFP

Fort Lauderdale, Amerika Syarikat: Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Orlando City pada pusingan 32 terakhir Piala Liga-Liga, hari ini, sekali gus menjadikan koleksi lima gol dalam tiga perlawanan.

Kedua-dua gol bintang Argentina itu dijaringkan dari jarak dekat, sekali gus menjadikan tiga kemenangan dalam tiga perlawanan buat pasukan yang tidak menang dalam 11 aksi liga sebelum ketibaannya.

Messi membuka tirai jaringan pada minit ketujuh apabila Robert Taylor mencelah dari sebelah kiri dan melakukan lambungan sempurna kepada pemain Argentina itu yang mendada bola terlebih dahulu sebelum merembat voli kencang.

Namun, Orlando bangkit menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila rembatan leret Ivan Angulo ditumbuk keluar penjaga gol Miami, Drake Callender dan pemain Uruguay, Cesar Araujo menyambut bola muntah di penjuru kotak penalti sebelum melakukan tendangan leret ke penjuru gol.

Miami kembali mendahului menerusi sepakan penalti Josef Martinez pada minit ke-51 sebelum Messi memastikan kemenangan menerusi gol jarak dekat selepas satu lambungan bijak daripada Martinez.

Seorang lagi bekas bintang Barcelona, Jordi Alba membuat kemunculan sulung buat Miami apabila sebagai pemain gantian pada minit ke-64 ketika pasukan kendalian Gerardo Martino layak ke pusingan 16 terakhir menentang FC Dallas di gelanggang lawan, awal pagi Isnin ini.

Pertahanan kanan Miami, DeAndre Yedlin berpendapat Orlando kelihatan takut ketika Miami terus bermain dengan penuh keyakinan.

"Dia memberikan keyakinan buat setiap orang di sekelilingnya. Anda boleh memberi bola dalam situasi sukar kepadanya dan tahu dia akan melakukan sesuatu dengannya.

"Sebaliknya lawan kami kelihatan takut. Mereka turun sedikit untuk bertahan dan ia memberi kami lebih banyak ruang bebas untuk beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:00 PM