Pemilik Kelab Bolasepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman mohon KAFA jelaskan hutang.
Pemilik Kelab Bolasepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman mohon KAFA jelaskan hutang.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak mempunyai pilihan selain terpaksa 'mengemis' kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) supaya segera melunaskan hutang sebanyak RM3.8 juta kepada pasukan itu.

Norizam berkata, RM3.8 juta itu adalah satu jumlah yang besar sekali gus dapat membantu memantapkan pasukan terutama membabitkan fasiliti dan pembayaran gaji.

"Kepada KAFA, minta tolong supaya dapat bayar hutang RM3.8 juta kepada saya. Mungkin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh bantu saya (selesaikan masalah).

"Macam-macam yang boleh saya buat dengan RM3.8 juta itu, saya boleh buat berapa banyak padang dan saya boleh bayar gaji pemain yang tertunggak," katanya pada sidang media di ibu negara, kelmarin.

Sebagai rekod, Norizam yang turut dikenali sebagai Zamsaham sebelum ini membayar RM6.8 juta ketika mengambil alih pasukan itu daripada KAFA pada 2020.

Mengikut rekod, jumlah terbabit membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC manakala RM3.8 juta adalah pinjaman kepada KAFA bagi menyelesaikan beberapa hutang ditanggung persatuan terbabit.

Selain itu, Norizam juga mengakui tidak begitu berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan Kelantan FC apatah lagi mereka kini menghuni tangga tercorot Liga Super.

"Banyak penyokong marah kerana tidak suka dengan persembahan pasukan. Saya 10 kali tidak suka dengan apa yang ada tetapi setiap hari saya berusaha.

"Kalau hari-hari dibantai, siapa yang mahu bangunkan kelab sendiri kalau bukan pemilik dan juga penyokong. Saya masih duduk (di sini) untuk usahakan sesuatu bagi membangunkan Kelantan FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:57 PM