B Sathianathan. FOTO NSTP
B Sathianathan. FOTO NSTP

Oleh Firdaus Hashim

[email protected]

Kuala Lumpur

"JDT memang pilihan, tetapi KL City bagi saya bahaya terutama dalam serangan kilat mereka. Silap-silap KL City boleh menang".

Itu pandangan bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan menjelang aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim dan Kuala Lumpur City FC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berkata, di atas kertas kehandalan skuad Harimau Selatan sememangnya tidak disangkal lagi dengan pasukan kendalian Benjamin Mora memiliki himpunan pemain yang seimbang.

Namun, anak buah Bojan Hodak turut dilihat mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 32 tahun itu menerusi taktikal dan strategi berkesan khususnya serangan balas.

Katanya, ia dibuktikan dalam beberapa aksi sebelum ini yang menyaksikan corak permainan skuad Warga Kota cukup berbahaya apabila disiplin bertahan bertukar dengan pantas kepada serangan ke kubu lawan yang akhirnya membuahkan jaringan.

"JDT ini kita tak boleh nak cakaplah, mereka memang seolah ada dua set pasukan yang seimbang dan sama kuat. Maksudnya kekuatan skuad utama sama dengan pemain dibangku simpanan yang bila-bila masa dimasukkan.

"Tetapi apa yang menariknya tentang KL City ini adalah cara permainan mereka. Skuad ini gemar bertahan dan memang kebal apabila menyerap asakan lawan.

"Tapi yang merbahayanya apabila secara tiba-tiba dari bertahan pemain KL City akan cepat melakukan serangan balas ke kubu lawan dan Romel Morales, J Partiban dan Paulo Josue cukup bahaya.

"Bagi saya ia satu perlawanan yang menarik dan mungkin akan ada elemen kejutan di final nanti," katanya yang pernah merasai nikmat menjulang Piala Malaysia selaku jurulatih ketika membimbing pasukan Kelantan pada 2010 lalu.

Untuk rekod, KL City pernah memenangi Piala Malaysia secara hatrik pada 1987, 1988 dan 1989, sementara JDT pula dua kali iaitu pada 2017 dan 2019.

Begitupun, jika diimbas pada final Piala Malaysia tahun 1985 menyaksikan pasukan Johor (nama lama sebelum direvolusikan kepada JDT) pernah menewaskan KL dengan keputusan 2-0 di Stadium Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 2:20 PM