BADDROL melambaikan tangan kepada penyokong Sabah FC pada perlawanan Liga Super Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas. FOTO Bernama
BADDROL melambaikan tangan kepada penyokong Sabah FC pada perlawanan Liga Super Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Peminat bola sepak negara dilihat berbelah bahagi jika benar bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar akan menceburi kancah politik dengan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Menerusi tinjauan reaksi di media sosial, ada yang memberi sokongan kepadanya namun tidak kurang juga yang menganggap bekas kapten Sabah FC itu bakal tersilap langkah.

"Korang yang sakit hati BB7 (Baddrol Bakhtiar) dan Radhi (Muhamad Radhi Mat Din) nak jadi calon dah kenapa. Biarlah diorang memcuba bidang baru, siapa tahu satu masa bila dah jadi menteri diorang boleh memajukan sukan bola sepak negara kita," tulis seorang penyokong Baddrol.

Selain Baddrol, Radhi yang menjadi tonggak utama Kedah pada era 1980-an dan 1990-an, turut disebut-sebut sebagai calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) kelak.

Seorang pengguna media sosial, Nadri Said pula berkata: Bola sepak dan artis jarang boleh maju dalam politik."

Mazlan Salleh pula berkata: "Jaga rakyat dan negeri bukan kerja main-main, jangan serahkan amanah pada yang bukan ahli."

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Baddrol kemungkinan besar akan bertanding dalam PRN bulan depan atas tiket PN.

Walaupun ketika ini tiada pihak yang membuat pengumuman rasmi berkaitan perkara itu namun menurut sumber dalaman PN memaklumkan kepada Arena Metro bahawa bekas pemain kebangsaan itu akan mewakili parti berkenaan untuk bertanding pada bulan depan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemain berusia 35 tahun itu sebelum dia bersetuju untuk 'terjun' dalam bidang politik dengan bertanding pada PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 9:31 PM