NORIZAM turut mengesahkan pasukan itu sudah pun melunaskan gaji pemain. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NORIZAM turut mengesahkan pasukan itu sudah pun melunaskan gaji pemain. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelantan FC kemungkinan tidak akan dijual jika pemiliknya Norizam Tukiman masih diberikan kepercayaan daripada penyokong untuk menerajui pasukan itu.

Hal ini kerana, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyatakan beliau akan terus menerajui pasukan berpangkalan di negeri pantai timur itu jika mendapat 'restu' penyokong Kelantan FC.

"Kalau ramai masih mahukan saya lead, InsyaAllah saya takkan jual Kelantan FC," katanya ketika menjawab pertanyaan penyokong di laman Facebooknya, hari ini.

Mengikut rekod, ketika ini, dua pihak berminat untuk menjadi pemilik baharu pasukan itu iaitu pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan dan juga usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman.

Selain itu, Norizam turut mengesahkan pasukan itu sudah pun melunaskan gaji pemain dan dia berusaha untuk membayar semuanya tepat pada masanya.

"Gaji dah bayar minggu lepas. EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun bayar.

"Kalau rezeki saya lebih, tentu saya akan optimum semuanya. Saya tak mahu lewat-lewat sebenarnya.

"Terima kasih semua yg hadir ke stadium semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 5:18 PM