DATUK Seri Hasmiza Othman. FOTO NSTP
DATUK Seri Hasmiza Othman. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Pada saya, dia (Erfan Akif) kena buktikan kemampuan untuk menerajui dan kelolakan kelab ini."

Demikian cabaran yang dilontarkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman ke atas Erfan Akif yang pesaingnya dalam usaha membeli kelab Kelantan FC daripada Norizam Tukiman.

Jelasnya, dia tidak akan mengaku kalah untuk meraih kepercayaan Norizam bagi menjual The Red Warriors (TRW) kepadanya.

Katanya, dia yang pernah menjadi penasihat dan penaja TRW dari 2016-2017 dengan nilai tajaan hampir RM20 juta.

Sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai pencapaian diraih dan atas pengalaman itu, dia yakin mampu menguruskan TRW.

"Ini kerana kalau dibiarkan kepada mereka yang masih baru, sampai bila pasukan ini akan terumbang-ambing. Pasukan lain sudah menunjukkan perubahan tetapi Kelantan FC masih tercorot," katanya.

Ulasnya lagi, dia tidak akan berundur dan mengaku kalah biarpun Norizam sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Erfan Akif.

"Tetapi saya memang tidak akan berundur dan masih bersaing untuk bersama pasukan ini," katanya.

Ditanya mengenai perjumpaannya bersama Norizam sebelum ini, Hasmiza atau dikenali Datuk Seri Vida akui semuanya berjalan baik namun tidak dapat mendedahkan hasil perbincangan itu.

"Saya sudah bertemu Zamsaham di Pulau Pinang dan mengadakan perbincangan tertutup. Namun segala maklumat lanjut mengenai perbincangan itu dirahsiakan untuk seketika ini.

"Persetujuan harga masih dalam rundingan dan (harga) terbaik untuk kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 4:12 PM