DUA pemain NSFC cuba menyekat kelincahan Velazquez (tengah). FOTO Bernama
DUA pemain NSFC cuba menyekat kelincahan Velazquez (tengah). FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan kali ke-16 berturut-turut selepas membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Pada pertembungan itu, pengendali JDT, Esteban Solari merehatkan Bergson Da Silva sebaliknya mempertaruhkan Fernando Forestieri dalam kesebelasan utama bergandingan bersama Arif Aiman dan Diogo Luis Santo mengemudi jentera serangan Harimau Selatan.

Penguasaan permainan JDT nyata mengundang ancaman buat benteng skuad Jang apabila minit kelapan bola sepakan akrobatik Leandro Velazquez dari luar kotak penalti tersasar sedikit di sebelah kanan gawang hampir memerangkap penjaga gol, Sikh Izhan Sikh Azman.

Ketika aksi memasuki minit ke-20, gol dicari JDT terhasil berpunca daripada sepakan percuma oleh Velazaquez menyaksikan Feroz Baharuddin bertindak menyelinap di celah benteng pasukan pelawat dan menanduk bola masuk menewaskan Sikh Izhan.

Selepas jaringan JDT itu, barisan anak didik K Devan seolah-olah enggan melancar serangan untuk memburu gol penyamaan sebaliknya lebih gemar `berkampung' dengan 10 pemain berada di kawasan sendiri bagi mengelak gawang dibolosi.

Walaupun mengamalkan corak `parkir bas' gawang NSFC bolos kali kedua selepas sepakan percuma Velazquez dari jarak 25 meter pada minit ke-43 tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Sikh Izhan.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan terus memberi tekanan terhadap benteng skuad Jang dan kemasukan Bergson yang menggantikan Diogo tampak mengancam gawang pelawat.

Bagaimanapun, pertahanan NSFC cekal bertahan untuk mengelakkan gawang mereka dibolosi lagi dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 11:13 PM