PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Romel Morales meraikan jaringan ketika menentang Terengganu FC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Romel Morales meraikan jaringan ketika menentang Terengganu FC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) mungkin tidak akan dapat 'mengayam-ayamkan' Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.

Pengendali KL City, Bojan Hodak akui pasukannya akan tampil lebih 'garang' dalam aksi final itu selepas mengesahkan beberapa pemain utamanya sudah bebas daripada masalah kecederaan, dan sedia diturunkan menentang JDT nanti.

Katanya, beberapa tonggak yang mengalami kecederaan dan tidak diturunkan ketika tumbang 1-6 kepada JDT dalam aksi Liga Super minggu lalu kini sedia untuk dipertaruhkan.

Malah, perlawanan dengan Terengganu FC di Cheras malam tadi menyaksikan kelompok pemain berkenaan kembali beraksi, di mana KL City diikat skuad Penyu 3-3.

"Menjelang perlawanan akhir, perkara baik berlaku kepada kami apabila para pemain yang cedera sebelum ini sudah pun kembali antaranya Akram Mahinan dan Khair Jones yang bermain malam ini.

"Mereka baru kembali daripada kecederaan panjang, saya rasa kami masih ada masa, di final nanti kami akan datang dengan pasukan yang lebih baik," katanya pada sidang media selepas aksi dengan Terengganu FC itu.

Sebanyak enam gol terhasil di Cheras yang menyaksikan pelawat terlebih dulu memimpin aksi menerusi ledakan luar kotak penalti, Omid Nazari di minit 28.

Tuan rumah kembali bangkit dan berjaya meraih tiga gol hasil sentuhan Giancarlo Gallifuoco di minit 36, diikuti Paulo Josue (m-41) dan Romel Morales (m-45).

Ketinggalan dengan dua gol tidak mematahkan semangat skuad Peteh apabila bangkit dengan jaringan Norhakim Hassan (m-50) dan Ivan Mamut (m-59).

Mengulas aksi dengan Terengganu FC itu, Hodak mahu pemainnya lebih konsisten sepanjang aksi.

"Itu (babak pertama) mungkin 45 minit terbaik musim ini dan mungkin 15 minit terburuk (awal babak kedua). Ini sesuatu yang tidak konsisten dan jika kita mahu jadi lebih bagus, kita perlu ubahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:51 PM