SHAMIRZA tekad ulangi aksi cemerlang Sabtu ini. FOTO TFC
SHAMIRZA tekad ulangi aksi cemerlang Sabtu ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas cemerlang membantu Terengganu FC (TFC) menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Ahad lalu, penjaga gol berpengalaman, Mohd Shamirza Yusoff sedia diturunkan pada Sabtu ini.

Penjaga gol berusia 33 tahun kelahiran Marang itu berkata, walaupun kali pertama diturunkan pada musim ini, ianya bukan penghalang buatnya untuk sekali lagi menggalas cabaran pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak menentang skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.80 meter itu yang memulakan kariernya di pentas Liga Malaysia (Liga M) bersama skuad Penyu sejak 2011 enggan mendabik dada.

Sebaliknya dia mengharapkan rakan sepasukannya terutama jentera pertahanan kebal mematahkan serangan skuad lawan yang pasti hadir dengan strategi berbeza untuk memadam defisit satu gol.

Pada aksi suku akhir pertama Ahad lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Shamirza yang dibawa masuk pada minit ke-61 menggantikan Suhaimi Husin yang dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang lawan, Romel Morales membuktikan aksinya belum 'berkarat'.

Dia beraksi cemerlang menafikan percubaan lawan sebelum pasukannya melakar kemenangan 1-0 hasil jaringan Kpah Sherman pada minit ke-14 sebagai bekalan sebelum aksi timbal balik.

Bagaimanapun penjaga gol yang pernah bersama Terengganu beraksi dalam pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 2012 meletakkan kepada barisan kejurulatihan sama ada disenaraikan atau sebaliknya.

"Semua pemain mahu beraksi dalam setiap perlawanan untuk menambahkan lagi minit permainan selain meningkatkan lagi prestasi, begitu juga dengan saya.

"Jadi jika sekali lagi diberi peranan yang penting itu, saya akan gunakan segala pengalaman yang ada bagi memastikan pintu gol tidak bocor sekali gus layak ke separuh akhir dan seterusnya mengintai peluang ke final.

"Buat rakan sepasukan, kerjasama anda ditagih, begitu juga peminat setia lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya yang akui pengalaman mengajarnya lebih bersedia dalam pelbagai situasi untuk mengawal pintu golnya daripada dibolosi lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 8:30 PM