TOMMY ledak gol penyelamat NSFC ketika menentang Penang FC. FOTO NSFC
TOMMY ledak gol penyelamat NSFC ketika menentang Penang FC. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas menyelamatkan maruah Negeri Sembilan FC (NSFC) melalui jaringan penyamaan ketika menentang Penang FC dalam aksi Liga Super, Isnin lalu, semangat pemain pertahanan Tommy Mawat Bada, terus membara dalam misi menjulang pasukannya itu.

Malah, pemain berpengalaman berasal dari Sarawak itu bertekad meneruskan aksi cemerlang sepanjang mengharungi baki saingan liga musim ini tatkala Negeri Sembilan memerlukan komitmen tinggi setiap pemain.

Mengulas mengenai jaringan itu, Tommy sedar bebanan yang ada padanya adalah tinggi ketika membuat keputusan untuk mengambil sepakan bola mati dengan jarak kira-kira 27 meter dari kawasan gol Penang kerana ketika itu Negeri Sembilan ketinggalan kepada pasukan lawan.

"Secara peribadi, jaringan dilakukan pada minit terakhir perlawanan itu memang bererti bagi saya kerana ia dapat membantu menyelamatkan maruah pasukan yang ketinggalan kepada pasukan lawan.

"Lebih menggembirakan ia terhasil pada malam sambutan hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-28.

"Jadi, saya anggap jaringan gol pada malam itu begitu bermakna dalam karier selain dapat membantu pasukan, ianya juga dapat melegakan penyokong serta menambah koleksi gol peribadi musim ini," katanya di sini, hari ini.

Tommy bagaimanapun akui terkilan kerana tidak dapat membantu skuad Hobin Jang Hobin meraih kemenangan pada aksi di laman sendiri itu meskipun memiliki rentetan peluang untuk melakukannya.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan perlu menggandakan lagi usaha serta kekuatan bagi membantu pasukan meraih pencapaian terbaik dan memuaskan musim ini sama ada dalam liga mahupun saingan Piala Malaysia, kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:01 PM